TAUHID 5.3 MUKJIZAT

5.3 MUKJIZAT

1. Mukjizat adalah perkataan Arab. 
2. Erti mukjizat pada bahasa ialah "yang melemahkan".
3. Erti mukjizat pada istilah ialah sesuatu yang dapat melemahkan dan mengalahkan musuh yang dibawa oleh rasul-rasul dengan keizinan Allah.
4. Ada dua jenis mukjizat iaitu mukjizat hissi dan mukjizat maknawi.
5. Mukjizat hissi adalah mukjizat yang dapat dilihat dengan mata kasar dan dapat dialami dengan pancaindera yang lima.
6. Antara contoh-contoh mukjizat hissi ialah:
   (a) Tongkat nabi Musa menjadi ular;
   (b) Memancar air dari celah jari nabi Muhammad(s.a.w.);
   (c) Kemerduan suara nabi Daud;
   (d) Kecantikan paras rupa nabi Yusuf.
7. Mukjizat hissi diberikan oleh Allah kepada rasul-rasul untuk;
   (a) memudahkan orang-orang yang kurang tajam akal fikirannya dan kurang terang mata hatinya mempercayai kenabian dan kerasulan seseorang pesuruh Allah;
   (b) membuktikan kebenarannya sebagai Rasul Allah yang diutuskan bagi memimpin umat manusia pada masanya.
8. Mukjizat hissi dapat dikenali kerana keadaan luar biasanya menyalahi adat dan sunnah(peraturan) alam yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak ada kejadian lain yang dapat dilakukan bagi mengatasinya.
9. Mukjizat maknawi pula ialah mukjizat yang hanya dapat difahami dengan daya dan kecerdasan akal fikiran sahaja.
10.Mukjizat ini juga disebut mukjizat akli.
11.Untuk mengenali mukjizat ini kita memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam di samping mempunyai fikiran yang waras,tajam,terang mata hati dan menggunakan akal fikiran dengan tenang dan jujur.
12.Contoh mukjizat ini ialah Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad(s.a.w.).

Mukjizat-mukjizat Para Rasul
____________________________
1. Mukjizat nabi Ibrahim:
   (a) Tidak hangus dan tidak merasai panas semasa dibakar oleh Raja Namrud.Firman Allah:
    قُلْنَا يَٰنَارُ كُونِى بَرْدًا وَسَلَٰمًا عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيم
(سورةالانبياء-69)
   Ertinya:Kami berfirman:Wahai api!Hendaklah engkau menjadi sejuk dan selamat atas Ibrahim.
2. Mukjizat Nabi Nuh:
   (a) Kapalnya tidak hangus semasa dibakar oleh kaumnya yang kafir;
   (b) Najis-najis yang dicampakkan oleh kaumnya yang kafir ke dalam kapalnya berubah menjadi penawar dan ubat yang mujarab bagi menyembuh semua penyakit.
3. Mukjizat nabi Salleh:
   (a) Keluar seekor unta yang besar dari dalam batu setelah dicabar oleh kaumnya yang kafir tetapi unta itu telah dibunuh lalu Allah binasakan kaumnya.
4. Mukjizat nabi Musa:
   (a) Tongkat Nabi Musa menjadi ular sehingga dapat menelan semua ular jelmaan tukang sihir Firaun yang menentangnya;
   (b) Tongkatnya juga dapat membelah Laut Merah lantas menjadi jalan semasa lari daripada Firaun dan tenteranya;
   (c) Tangannya berkilau-kilau terang benderang dengan tidak ada cacat celanya.
5. Mukjizat Nabi Sulaiman:
  (a) Nabi Sulaiman  dapat memahami dan bercakap dengan binatang dan serangga;
  (b) Nabi Sulaiman dapat menggunakan angin untuk pergi ke mana-mana;
  (c) Nabi Sulaiman dapat menggunakan tenaga jin untuk melakukan perkara-perkara yang berat.
6. Mukjizat nabi Daud:
  (a) Nabi Daud dapat melembutkan dan mencairkan besi dengan tangannya tanpa alat pelebur;
  (b) Suaranya amat merdu.
7. Mukjizat nabi Isa:
  (a) Nabi Isa dapat menghidupkan lembaga burung yang dibuat daripada tanah;
  (b) Nabi Isa dapat menghidupkan orang mati dengan izin daripada Allah;
  (c) Nabi Isa dapat menyembuhkan orang-orang buta dan orang yang mengidap sakit kusta yang tidak dapat disembuhkan oleh doktor-doktor pada masa itu.
8. Mukjizat nabi Muhammad(s.a.w.):
   (a) Bulan terbelah dua ketika nabi menunjukkan tangannya kearah bulan itu; 
   (b) Keluar air dari celah jari nabi sehingga dapat diminum dan berwuduk;
   (c) Terhenti perjalanan matahari seketika;
   (d) Israk dan mikraj;
   (e) Melemparkan debu kepada musuhnya dan tiap-tiap mata musuh yang terkena lemparan debu itu lari dengan kelam-kabut.

Tujuan Mukjizat Diberikan Kepada Rasul-rasul
____________________________________________
1. Untuk mengelakkan orang ramai tertipu oleh nabi-nabi palsu kerana nabi palsu tidak ada mukjizat.
2. Untuk memudahkan usaha menarik orang ramai menyahut seruan agama Allah.
3. Untuk membuktikan bahawa rasul-rasul itu memang benar.
4. Untuk menghapuskan fitnah yang dibawa oleh penentang penentang rasul-rasul itu.
5. Untuk menguatkan iman orang yang beriman lagi dengan adanya mukjizat.

Perbezaan antara Mukjizat,Keramat dan Sihir
___________________________________________
1. Mukjizat:Perkara yang luar biasa,yang tidak dapat dipelajari dan tidak dapat ditandingi apatah lagi mengalahkannya dan dibawa oleh Rasul-rasul.
2. Keramat:Perkara luar biasa yang berlaku kepada hamba Allah yang kuat imannya dan patuh kepada perintah-perintah Allah tetapi mereka tidak pula mengaku menjadi nabi atau rasul.
3. Sihir:Perkara luar biasa yang terjadi dengan sesuatu sebab seperti menggunakan jampi,tangkal dan sebagainya.Ilmu ini dapat dipelajari,dibuat oleh semua orang,dapat dikalahkan dan dapat ditandingi orang.

~Ilmu ini dikongsi oleh ksu asbkl

Popular posts from this blog

SEJARAH 7.21 HIJRAH KE HABSYAH KALI PERTAMA

SEJARAH 8.1 PENDUDUK MADINAH SEBELUM DAN SESUDAH HIJRAH