FIKAH 1.3 NAJIS DAN CARA MENYUCIKANNYA

1.3 NAJIS DAN CARA MENYUCIKANNYA
1. Erti najis pada bahasa ialah cemar,kotor dan jijik.
2. Erti najis pada hukum syarak ialah benda-benda kotor yang menegah akan sah solat.
3. Benda-benda bernajis haram dimakan,diminum atau dijual.
4. Apabila tubuh badan,pakaian atau tempat solat terkena najis,maka wajiblah dibasuh.
5. Najis dibahagikan kepada 3 iaitu;
   (a) najis berat(mughallazah);
   (b) najis pertengahan(mutawassitah);
   (c) najis ringan(mukhaffafah);


Najis Berat(Mughallazah)
________________________
1. Najis berat ialah najis yang terlalu kotor mengikut hukum syarak.
2. Benda/binatang yang dianggap najis berat termasuk:
   (a) anjing dan babi;
   (b) binatang keturunan kacukan anjing dan babi;
   (c) benda-benda keluar daripada anjing dan babi seperti muntah,tahi,air liur dan sebagainya.
3. Cara-cara menyucikan najis berat:
   (a) Hilangkan najis itu sehingga tidak ada bau,rasa dan warna;
   (b) Basuhlah tempat kena najis itu dengan air mutlak sebanyak tujuh kali dan sekali daripadanya dengan air yang bercampur tanah.


Najis Ringan(Mukhaffafah)
_________________________
1. Najis ringan ialah najis air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan belum memakan apa-apa makanan selain susu ibunya.
2. Cara-cara menyucikan najis ringan:
   (a) Najis ringan memadai dicuci dengan memercikkan air ke atas tempat yang kena najis itu sehingga rata;
   (b) Jika najis itu bertakung di atas lantai,maka hendaklah dilapkan terlebih dahulu.Kemudian barulah dipercikkan air sehingga rata.


Najis Pertengahan(Mutawassitah)
_______________________________
1. Najis pertengahan ialah najis selain najis berat dan ringan.
2. Benda-benda ini termasuk:
   (a) muntah;
   (b) nanah;
   (c) darah;
   (d) bangkai selain ikan dan belalang;
   (e) sesuatu yang keluar melalui dubur atau qubul,selain air mani manusia;
   (f) minuman yang memabukkan;
   (g) susu binatang yang haram dimakan dagingnya;
   (h) bahagian tubuh binatang yang tercerai dari tubuhnya yang hidup.
3. Cara-cara menyucikan najis pertengahan:
   (a) Hilangkan benda najis jika ada;
   (b) Basuhlah tempat yang kena najis sehingga hilang rupa,bau dan rasanya.
4. Najis pertengahan ini terbahagi kepada dua iaitu:
   (a)najis aini;          (b)najis hukmi.
5. Najis aini ialah najis yang ada rupa,bau dan rasa.
6. Cara-cara menyucikan najis ini ialah: 
   (a) Hilangkan benda najis jika ada;
   (b) Jiruskan air ke atas tempat yang kena najis sehingga hilang rupa,bau dan rasanya.
7. Najis hukmi ialah najis yang tidak ada rupa,bau atau rasa seperti air kencing yang telah kering.
8. Untuk menyucikan najis ini memadai dengan hanya menyiramkan air ke atas tempat yang terkena najis itu sekira-kira rata.


Najis-najis yang dimaafkan
__________________________
1. Ulat di dalam buah-buahan.
2. Mayat manusia,bangkai ikan dan belalang.
3. Sedikit darah bisul,darah jerawat dan lain-lain.
4. Minuman yang memabukkan yang berubah rupa dengan sendirinya menjadi cuka.
5. Bangkai serangga yang tidak mempunyai darah mengalir seperti semut,lalat,kelkatu dan sebagainya.


Menyamak kulit bangkai
______________________
1. Semua kulit bangkai selain kulit babi,anjing dan keturunan keduanya,sama ada binatang yang halal dimakan ataupun tidak,adalah suci selepas disamak.
2. Cara-cara menyamak kulit binatang:
   (a) Hilangkan selaput lendir,darah,lemak dan sebagainya.
   (b) Kemudian mulakan menyamak atau menggosok dengan benda-benda kesat atau tajam zatnya seperti tawas,kapur dan lain-lain;
   (c) Setelah selesai jemurlah di bawah panas matahari atau disidai sehingga kering.


Bahaya-bahaya Najis
___________________
1. Bangkai sangat berbahaya kepada kesihatan manusia kerana cepat busuk,bernanah dan berulat.
2. Arak dan minuman yang memabukkan,membahayakan kesihatan jasmani dan rohani.
3. Anjing dan babi berbahaya kerana membawa kuman dan cacing yang dapat menyebabkan penyakit kepada manusia.
4. Muntah,darah,nanah,air kencing dan tahi juga mengandungi kuman yang  berbahaya kepada kesihatan manusia.

~Ilmu ini dikongsi oleh ksu asbkl

Popular posts from this blog

TAUHID 5.3 MUKJIZAT

SEJARAH 7.21 HIJRAH KE HABSYAH KALI PERTAMA

SEJARAH 8.1 PENDUDUK MADINAH SEBELUM DAN SESUDAH HIJRAH