FIKAH 2.3 SOLAT JUMAAT

2.3 SOLAT JUMAAT

1. Solat Jumaat ialah solat dua rakaat selepas khutbah pada waktu Zuhur pada hari Jumaat.
2. Solat Jumaat hukumnya wajib(fardu ain) bagi lelaki yang mencukupi syarat-syaratnya.
3. Dalil wajib Jumaat adalah sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Jumaat ayat 9:
   يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ ٱلْجُمُعَةِ فَٱسْعَوْا۟ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُون
(سورت الجمعة-9)  
   Ertinya:Wahai orang yang beriman!Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat,maka segeralah kepada mengingati Allah dan tinggallah perniagaan kamu,yang demikian lebih baik lagi bagi kamu jika kamu mengetahui.
4. Rasulullah(S.A.W.) juga telah bersabda seperti yang diriwayat oleh Abu Daud dan Al-Hakim:   
اَلْجُمْعَةُحَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِىْ جَمَعَةٍ اِلَّااَرْبَعَةً، عَبْدٌ مَمْلُوْكٌ أَوْ إِمْرَأَةٌ أَوْصَبِِىٌّ أَوْ مَرِ يْضٌ 
 (رواه ابو داود والحاكم)             
   Ertinya:Solat Jumaat itu wajib bagi setiap orang Islam secara berjemaah kecuali empat:hamba,orang perempuan,kanak-kanak dan orang sakit.
5. Hukum solat Jumaat berbeza bagi tiga golongan orang:
   (a) Orang mastautin-orang yang tinggal menetap di suatu tempat yang didirikan solat Jumaat.
       (i) Hukumnya ialah fardu ain atasnya bagi menunaikan fardu Jumaat.
      (ii) Ia masuk bilangan 40 orang daripada ahli Jumaat.
   (b) Orang mukim-orang yang tinggal di suatu tempat untuk sementara waktu sahaja.
       (i) Hukumnya ialah fardu ain atasnya bagi menunaikan fardu Jumaat.
      (ii) Ia tidak masuk bilangan 40 orang daripada ahli Jumaat.
   (c) Orang musafir-orang dalam perjalanan atau pengembaraan dari satu tempat ke satu tempat yang tertentu yang melebihi dua marhalah(kira-kira 90 kilometer).
       (i) Hukumnya ialah sunat dan sah fardu Jumaatnya.
      (ii) Ia tidak termasuk bilangan 40 orang daripada ahli Jumaat.
6. Seseorang itu wajib menunaikan fardu Jumaat apabila cukup 7 syarat:
   (a) Islam;
   (b) sampai umur(baligh);
   (c) berakal;
   (d) lelaki;
   (e) tidak uzur;
   (f) bermukim;
   (g) merdeka.
7. Syarat-syarat sah Jumaat adalah:
   (a) Islam;
   (b) berakal;
   (c) berjemaah;
   (d) solat dalam waktu Zuhur;
   (e) pada tempat yang telah ditentukan;
   (f) tidak berbilang-bilang Jumaat di suatu tempat kediaman;
   (g) berjumlah 40 orang mengikut mazhab Syafie;
   (h) disampaikan khutbah dua kali sebelum solat.
8. Pada hari Jumaat juga,beberapa perkara sunat dilakukan:
   (a) Mandi sunat kerana hendak menunaikan fardu Jumaat;
   (b) Memotong kuku,mencabut bulu ketiak,menggunting misai dan sebagainya;
   (c) Memakai pakaian yang bersih dan elok;
   (d) Memakai bau-bauan yang dibolehkan untuk dibawa solat;
   (e) Datang awal ke masjid;
   (f) Solat sunat tahiyatul-masjid sebelum duduk;
   (g) Berniat iktikaf apabila duduk di dalam masjid:
        نَوَيْتُ الاْ اِعْتِكاَفَ فِى هَذَا المَسْجِد لِلَّهِ تَعَالَى
     Sahaja aku berhenti(iktikaf) di dalam masjid ini kerana Allah Taala.
   (h) Membaca Al-Quran dan berzikir atau berwirid;
   (i) Mendengar khutbah dengan teliti;
   (j) Bersalaman sesudah solat;
9. Niat mandi sunat hari Jumaat ialah:
   Sahaja aku mandi sunat hari Jumaat kerana Allah Taala.
10.solat sunat tahiyatul-masjid disunatkan setiap kali masuk masjid.
   Lafaz dan niatnya ialah:
   أُُصَلِّيْ سُنَّةَ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
   Sahaja aku solat sunat tahiyatul-masjid dua rakaat kerana Allah Taala.
   Nota:Tujuan solat sunat:-menghormati masjid,tempat beribadat,tempat suci
11.Ada beberapa hikmat di sebalik solat Jumaat:
   (a) Dapat memetik nasihat-nasihat dan pengajaran-pengajaran yang baik daripada khutbah yang disampaikan;
   (b) Memuliakan hari yang dimuliakan oleh Allah;
   (c) Menguatkan tapi persaudaraan dan persahabatan anatara Islam;
   (d) Merupakan perjumpaan mingguan antara umat Islam untuk mengetahui keadaan masyarakat tempatan;
   (e) Dapat bertukar-tuakr fikiran dan berkenal mesra di antara satu sama lain.

Makmum Terlewat
_______________
1. Jika seseorang makmum terlewat datang ke masjid untuk solat Jumaat dan sempat mengikut imam di dalam rakaat kedua maka sahlah fardu Jumaatnya.Tetapi setelah imam memberikan salam maka hendaklah ditambah satu rakaat lagi.
2. Jika seseorang makmum terlewat dan tidak sempat mendapatkan rakaat kedua bersama dengan imam,mka hendaklah ia solat Zohor.

Berhimpun Jumaat dengan hari raya
_________________________________
1. Jika Hari Raya jatuh pada hari Jumaat maka bersalahan pendapat ulama tentang solat Jumaat:
   (a) Pendapat Mazhab Syafie:
       (i) Tidak gugur solat Jumaat dengan solat hari raya bagi penduduk kota;
      (ii) Gugur solat Jumaat dengan solat hari raya bagi penduduk desa dan harus mereka meninggalkan Jumaat dan bersurai.
   (b) Pendapat Mazhab Hanafi:
       (i) Penduduk kota wajib Jumaat;
      (ii) Penduduk desa wajib Jumaat;
   (c) Pendapat Mazhab Hambali:
       (i) Tidak wajib solat Jumaat bagi penduduk kota dan desa bahkan gugur daripada mereka itu fardu Jumaat dengan solat hari raya dan hendaklah solat Zohor.

~Ilmu ini dikongsi okeh ksu asbkl

Popular posts from this blog

TAUHID 5.3 MUKJIZAT

SEJARAH 7.21 HIJRAH KE HABSYAH KALI PERTAMA

SEJARAH 8.1 PENDUDUK MADINAH SEBELUM DAN SESUDAH HIJRAH