FEKAH - ZAKAT - C GOLONGAN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

GOLONGAN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT
1.Fakir:
Orang yang tiada mempunyai harta atau pekerjaan,yang mempunyai pendapatan yang tidak melebihi separuh daripada keperluan sehari-harinya.Contohnya:Dia memerlukan enam ringgit untuk keperluannya tetapi dia hanya memperolehi dua ringgit sahaja.
2.Orang miskin:
Orang yang mempunyai harta dan pekerjaan tetapi tidak mencukupi saraan hidup sehari-harinya.Contohnya:Dia memerlukan enam ringgit sehari tetapi dia hanya memperolehi empat ringgit sahaja.
3.Amil
Orang yang dilantik oleh pemerintah untuk mengumpul atau memungut zakat seperti amil yang ditugaskan memungut zakat fitrah pada bulan Ramadhan.
4.Mualaf:
Orang yang baru memeluk Islam dengan tujuan untuk menjinakkan hati mereka supaya mereka berminat dengan ajaran Islam.
5.Hamba Mukatab:
Hamba yang dijanjikan oleh tuannya untuk dibebaskan apabila dia dapat membayar dengan kadar yang ditentukan.
6.Orang yang berhutang:
Orang yang berhutang untuk tujuan kebaikan yang dihalalkan oleh hukum syarak seperti untuk mengubati penyakit,melanjutkan pelajaran,membina masjid dan lain-lain kepentingan Islam.
7.Untuk jalan Allah(Fisabilillah):
Perbelanjaan untuk kepentingan Islam yang amat diperlukan seperti membina masjid,menolong orang yang berjuang untuk menegakkan syiar Islam dan menentang musuh Allah dan sebagainya.
8.Musafir(ibnu sabil):
Musafir yang terlantar dalam perjalanan yang bertujuan baik seperti seorang penuntut yang pergi ke luar negeri tiba-tiba kehabisan wang di perjalanan.

Dalil menunjukkan golongan di atas berhak menerima zakat:
قال تعالى: اِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِيْنِ وَالْعَامِلِيْنَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوْ بُهُمْ وَفِى الرِّقَابِ، وَالْغَارِمِيْنَ، وَفِى سَبِيْلِ اللّٰهِ، وَابْنِ السَّبِيْلِ، فَرِيْضَةً مِنَ اللّٰهِ، واللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ.
Ertinya:Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir,orang miskin,pengurus-pengurus zakat(amil),muallaf yang dibujuk hatinya,hamba yang dijanjikan kemerdekaan,orang-orang yang berhutang di jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

HIKMAH ORANG FAKIR,ORANG MISKIN,HAMBA MUKATAB DAN IBNU SABIL BERHAK MENERIMA ZAKAT
1.Supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.
2.Supaya mereka tidak hilang pedoman kerana dihimpit kesusahan yang mungkin membawa mereka ke arah yang tidak diredhai oleh Allah.
3.Supaya mereka sentiasa mengingati Allah dan bersyukur apabila sudah dikurniakan rezeki.
4.Supaya manusia saling menolong di antara satu dengan yang lain tanpa mengira pangkat,darjat atau kedudukan.

ANTARA SEBAB-SEBAB MUALAF BERHAK MENERIMA ZAKAT
1.Supaya mereka lebih berminat untuk terus berada dalam agama Islam dan menjalankan kehidupan seperti seorang Islam.
2.Supaya mereka dapat berkenal mesra dengan golongan Islam yang lain tanpa ada perasaan rendah diri.
3.Supaya masyarakat yang lain tidak memandang hina terhadap mereka.Konsep persaudaraan sejagat dapat diwujudkan melalui amalan zakat ini.

ANTARA SEBAB-SEBAB AMIL DAN FISABILILLAH BERHAK MENERIMA ZAKAT
1.Supaya pemerintah dapat meninggikan projek ekonomi masyarakat Islam seperti dalam aspek pelajaran,pertanian dan sebagainya.
2.Supaya syiar Islam dapat terus berkembang dengan lebih pesat dan tersusun seperti pembinaan masjid,pusat-pusat kegiatan dakwah dan sebagainya.
3.Agar pihak pemerintah dapat memberi pertolongan kepada golongan yang tidak bernasib baik dalam bentuk agihan yang sama rata.
4.Supaya dapat membantu mereka yang teraniaya dan mereka yang menentang musuh-musuh Islam supaya dapat ditegakkan daulah Islamiah.

~Ilmu ini dikongsi oleh ksu asbkl

Popular posts from this blog

TAUHID 5.3 MUKJIZAT

SEJARAH 7.21 HIJRAH KE HABSYAH KALI PERTAMA

SEJARAH 8.1 PENDUDUK MADINAH SEBELUM DAN SESUDAH HIJRAH