FIKAH 3.1 PUASA

3.1 PUASA

1. Puasa di dalam bahasa Arab ialah as-Siamu(الَصِّيَامُ).
2. Puasa pada bahasa ialah menahan diri.
3. Puasa pada istilah ialah menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga jatuh matahari disertai dengan niat.
4. Dalil wajib puasa adalah sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 183-184: 
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
أَيَّامًا مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُۥ ۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
(سورةالبقرة:184-183) 
   Ertinya:Wahai orang-orang yang beriman!Diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu terpelihara,iaitu beberapa hari yang tertentu.
5. Sabda Rasulullah(s.a.w.) pula: 
بُنِىَ الْاِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةُ اَنْ لَااِلٰهَ اِلَّا اللّٰهُ وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللّٰهِ وَاِقَامُ الصَّلَاةِ وَاِيتَاءِ الزَّكَاةِوَحِجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ 
(رواه البخاري ومسلم وأحمد)
6. Menurut sejarah,orang Islam mula diwajibkan puasa pada tahun kedua Hijrah.
7. Syarat-syarat wajib puasa adalah:
   (a) Islam;
   (b) sampai umur(baligh);
   (c) berakal;
   (a) kuasa berpuasa.
8. Orang Islam wajib berpuasa apabila:
   (a) nampak anak bulan awal Ramadhan selepas jatuh matahari;
   (b) mencukupkan bulan Syaaban 30 hari kalau hari mendung.
9. Selain dengan melihat anak bulan(rukyah),puasa juga boleh ditetapkan dengan kiraan hisab oleh ahli falak.
10.Rukun puasa ada dua iaitu:
   (a) niat;
   (b) menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga jatuh matahari.
11.Lafaz niat puasa Ramadhan ialah:
   نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ اَدَاءِفَرْضِ رَمَضَانَ هٰذِهِ السَّنَةِلِلّٰهِ تَعَالٰى
   Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
12.Ulama juga bercanggah pendapat tentang waktu niat puasa:
   (a) Pendapat imam Syafie:Wajib berniat pada tiap-tiap malam.
   (b) Pendapat imam Malik:Boleh berniat puasa seluruh Ramadhan dengan sekali niat pada awal Ramadhan.
13.Syarat-syarat sah puasa ada enam iaitu:
   (a) Islam;
   (b) berakal;
   (c) suci daripada nifas dan haid;
   (d) berniat;
   (e) menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa;
   (f) pada hari yang sah puasa;
14.Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah:
   (a) memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja,seperti memasukkan sesuatu makanan,memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau dubur;
   (b) muntah dengan sengaja;
   (c) bersetubuh atau jimak dengan sengaja;
   (d) keluar mani dengan sengaja;
   (e) keluar haid dan nifas;
   (f) gila;
   (g) mabuk atau pengsan sepanjang hari;
   (h) bersalin;
   (i) berbuka sebelum masuk waktu;
   (j) murtad;
15.Terdapat beberapa perkara yang sunat dilakukan oleh orang yang berpuasa:
   (a) Segera berbuka puasa apabila yakin jatuh matahari(masuk waktu Maghrib);
   (b) Berbuka dengan buah tamar(kurma) atau sesuatu yang manis;
   (c) Makan sahur dan mentakkhirkannya;
   (d) Memperbanyakkan membaca Al-Quran;
   (e) Memperbanyakkan ibadat pada malam dan siang;
   (f) Mengadakan jamuan berbuka puasa;
   (g) Mandi junub sebelum fajar;
   (h) Solat terawih;
   (i) Memperbanyakkan iktikaf di masjid;
   (j) Berdoa sewaktu berbuka puasa seperti:-
       اَللّٰهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَ عَلَى رِزْقِكَ اَفْطَرْتُ
       Ertinya:Ya Allah!Bagi Engkau aku perpuasa dan di atas rezeki Engkau aku berbuka.
16.Beberapa perkara makruh dilakukan oleh orang yang berpuasa:
   (a) Merasa masakan dan makanan;
   (b) Menggosok gigi selepas gelincir matahari;
   (c) Berkumur-kumur dengan banyak;
   (d) Mengambil darah dan bersuntik;
   (e) Mencium atau mengucup isteri;
   (f) Banyak tidur terutama pada siang hari.
17.Walau bagaimanapun,seseorang harus(boleh) meninggalkan puasa dengan beberapa sebab:
   (a) Sakit yang membahayakan;
   (b) Sakit yang tidak ada harapan sembuh;
   (c) Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan;
   (d) Musafir(sekurang-kurangnya 2 marhalah);
   (e) Tua yang tiada kuasa berpuasa
   (f) Perempuan hamil yang bimbang akan diri atau kandungannya;
   (g) Perempuan yang menyusukan anak.
18.Apabila seseorang itu meninggalkan puasa,wajiblah ia qada puasa,membayar fidyah atau kedua-duanya sekali.
19.Fidyah puasa beerti mengeluarkan secupak bahan makanan asasi kepada fakir miskin bagi tiap-tiap hari yang ditinggalkan.
20.Penentuan qada dan fidyah adalah seperti berikut:
   (a) Wajib qada puasa:
       (i) Perempuan haid dan nifas;
      (ii) Terkena sakit yang membahayakan;
     (iii) Orang yang tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan;
      (iv) Orang musafir;
       (v) Perempuan hamil atau menyusukan anak jika bimbang akan diri masing-masing;
      (vi) Orang mabuk atau pengsan dari terbit fajar hingga jatuh matahari;
     (vii) Orang yang:
           -sengaja meninggalkan niat puasa;
           -terlupa niat puasa;
           -sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
   (b) Wajib qada dan fidyah:
       (i) Perempuan hamil yang bimbang akan kandungannya;
      (ii) Perempuan yang menyusukan anak bimbang akan anak yang disusukannya.
   (c) Wajib fidyah:
       (i) Orang tua yang tidak kuasa berpuasa;
      (ii) Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.
21.Orang yang lewat qada puasa juga akan dikenakan fidyah:
   (a) Jika lewat qada puasa hingga datang Ramadhan yang lain,wajib fidyah secupak bagi tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkan.
   (b) Jika melewati dua tahun iaitu melewati dua kali Ramadhan wajib berfidyah sebanyak dua cupak sehari dan begitulah seterusnya di samping mengqadakan puasanya.
22.Bagi orang yang mati sebelum mengqadakan puasanya dengan ketiadaan uzur,kenalah keluarganya mengeluarkan fidyah secupak bagi tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkannya.
23.Kifarah atau denda pula dikenakan ke atas orang lelaki yang melakukan persetubuhan pada siang hari pada bulan Ramadhan dengan sengaja.
24.Di samping mengqadakan puasa wajiblah ia akan perkara-perkara berikut:
   (a) memerdekakan seorang hamba mukmin;
   (b) jika tidak kuasa,wajiblah berpuasa dua bulan berturut-turut;
   (c) jika tidak kuasa juga,wajib memberikan sedekah 60 cupak makanan asasi kepada 60 orang miskin dengan secupak seorang.
25.Terdapat beberapa hikmat puasa:
   (a) Puasa mengandungi erti ucapan terima kasih hamba terhadap Allah.Ini kerana dengan berpuasa seseorang itu dapat mengetahui betapa besar erti nikmat makan minum yang diperolehinya sepanjang hari.Apabila seseorang itu berpuasa,ia akan berasa lapar dan dahaga maka dengan itu ia sedar bagaimana besarnya kurniaan Allah ketika ia kenyang;
   (b) Puasa melatih jiwa supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang menderita;
   (c) Puasa menanamkan semangat perpaduan kerana setiap orang sama-sama menunaikan kewajipan yang sama; 
   (d) Puasa dapat melatih disiplin dan akhlak yang mulia serta patuh kepada peraturan dan undang-undang;
   (e) Berpuasa boleh mendatangkan kekuatan jasmani.Bahagian penghadaman di dalam perut dapat berehat daripada kerjanya sepanjang tahun.Ini memperbaiki kesihatan.

Solat Terawih
_____________
1. Solat terawih boleh dikerjakan sebanyak 8 rakaat dan boleh juga 20 rakaat,tiap-tiap dua rakaat di dalam satu salam.
2. Lafaz niatnya ialah:
   اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَى
   Sahaja aku solat sunat terawih dua rakaat kerana Allah Taala.
3. Solat terawih boleh dilakukan seorang diri tetapi sebaik-baiknya hendaklah solat beramai-ramai.
4. Waktu solat ialah selapas solat Isyak pada setiap malam Ramadhan.
5. Selepas solat terawih disunatkan pula solat witir sekurang-kurangnya satu rakaat dan sebanyak-banyaknya sebelas rakaat.Yang biasanya dilakukan ialah tiga rakaat dengan dua salam.

Hari-hari yang Diharamkan Berpuasa
__________________________________
1. Hari Raya Puasa(1 Syawal);
2. Hari Raya Haji(10 Zulhijjah);
3. Hari-hari Tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Hari Syak
_________
1. Hari syak ialah hari yang ketiga puluh Syaaban;
2. Diharamkan berpuasa dengan tiada sebab pada hari syak,tetapi jika mempunyai sebab seperti puasa qada,puasa nazar dan puasa kifarat maka sah puasanya.

Puasa-puasa sunat
_________________
1. Puasa 6 hari pada bulan Syawal(bermula 2 Syawal);
2. Puasa hari Tasua(9 Muharam);
3. Puasa Asyura(10 Muharam);
4. Puasa Arafah(9 Zulhijjah);
5. Puasa bulan Syaaban;
6. Puasa hari Isnin dan hari Khamis;
7. Puasa tengah bulan(13,14 dan 15) dari bulan Qamariah.

~Ilmu ini dikongsi oleh ksu asbkl

Popular posts from this blog

TAUHID 5.3 MUKJIZAT

SEJARAH 7.21 HIJRAH KE HABSYAH KALI PERTAMA

SEJARAH 8.1 PENDUDUK MADINAH SEBELUM DAN SESUDAH HIJRAH