FEKAH - HAJI DAN UMRAH - A PENGERTIAN HAJI DAN UMRAH

HAJI DAN UMRAH
PENGERTIAN HAJI
Dari segi bahasa:Mengunjungi tempat yang mulia
Dari segi istilah:Mengunjungi Baitullah dalam bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadah yang tertentu mengikut syarat-syaratnya yang tertentu.

DALIL KEFARDHUAN HAJI
Firman Allah Taala:
وَاذِّنْ فِى النَّاسِ بِالْحَجِّ
Ertinya:Serulah manusia untuk pergi mengerjakan haji.

IBADAT HAJI MULA DIFARDHUKAN
Ibadah haji difardhukan kepada umat Islam sejak tahun 6 Hijrah tetapi telah diamalkan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI
1.Wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam sekali seumur hidup apabila mencukupi syarat-syaratnya.
2.Sunat dilakukan berulang kali.
3.Wajib dikerjakan sekali lagi jika bernazar atau ibadah hajinyayang dahulu batal.

HIKMAH ALLAH MEWAJIBKAN HAJI
Dari segi perpaduan:
1.Semasa mengerjakan ibadah haji,manusia sempat berkenal-kenalan dengan jemaah haji dari serata dunia dan ini dapat mengukuhkan perpaduan umat Islam.
2.Ibadah haji dapat melatih seseorang membentuk sifat sabar,belas kasihan dan tolong menolong.Ini akan melahirkan perpaduan dalam masyarakat Islam.
3.Pakaian yang dipakai iaitu pakaian ihram yang sama akan melahirkan perasaan sama rata tidak mengira darjat dan keturunan.Dengan ini akan melahirkan perpaduan dalam masyarakat Islam.
4.Umat Islam dapat mengadakan kongres peringkat antarabangsa untuk mewujudkan perpaduan umat Islam sedunia.

Dari segi ekonomi:
1.Semasa mengerjakan ibadah haji,manusia berpeluang untuk berniaga.Dengan ini akan menambahkan dan mengukuhkan ekonomi umat Islam.
2.Pemimpin negara-negara Islam berkesempatan mengadakan persidangan untuk mencari jalan meninggikan ekonomi negara Islam.
3.Barang pengeluaran dari negara-negara Islam seperti makanan,pakaian dan sebagainya boleh dieksport ke Tanah Suci untuk diperniagakan.Dengan ini dapat meninggikan lagi ekonomi negara-negara Islam.

Dari segi individu muslim
1.Umat Islam dapat melawat kesan-kesan sejarah seperti makam syuhada,Bukit Safa dan Marwah,kesan peperangan Uhud dan sebagainya yang akan mengukuhkan keimanan.
2.Ibadah haji mengajar manusia supaya bersifat sabar dan sentiasa bertawakal kepada Allah.Ini kerana semasa mengerjakan haji banyak kesulitan yang terpaksa dihadapi.
3.Umat Islam dapat memohon ampun dan bertaubat kepada Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan kerana haji yang mabrur itu akan membersihkan manusia daripada segala dosanya dengan Allah.

SYARAT-SYARAT WAJIB HAJI
1.Islam iaitu orang-orang Islam bukan kafir atau musyrik.
2.Merdeka iaitu bukan hamba sahaya yang masih ada ikatan dengan tuannya.
3.Berakal iaitu berfikiran waras dan sempurna,tidak gila,mabuk dan sebagainya yang dapat mencacatkan kesempurnaan fikirannya.
4.Baligh atau cukup umur seperti yang ditentukan dalam Islam.
5.Berkemampuan iaitu orang-orang yang mampu mengerjakan haji mengikut syarat-syarat kemampuan dalam haji.

SYARAT-SYARAT KEMAMPUAN MENGERJAKAN HAJI
1.Ada kenderaan yang dapat sampai ke Mekah dengan selamat.
2.Ada perbelanjaan yang cukup untuk tambang dan perbelanjaan di sana dan perbelanjaan orang-orang di bawah tanggungan yang ditinggalkan.
3.Tidak berlaku sebarang kekacauan semasa dalam perjalanan seperti peperangan dan sebagainya.
4.Mempunyai kesempatan masa untuk mengerjakan haji.
5.Syarat-syarat tambahan untuk wanita sahaja:
(a) Mendapat izin suami.
(b) Sekurang-kurangnya ditemani oleh dua orang teman yang muhrim.

DALIL KEMAMPUAN MENGERJAKAN HAJI
Firman Allah Taala:
وَاللّٰهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً
Ertinya:Dan wajiblah ke atas manusia mengerjakan haji apabila mampu sampai ke sana.

PENGERTIAN UMRAH
Dari segi bahasa:Ziarah
Dari segi istilah:Mengunjungi Baitullah pada bila-bila masa sahaja untuk mengerjakan ibadah yang tertentu mengikut syarat-syaratnya.

DALIL HAJI DAN UMRAH
Firman Allah Taala:
وَاَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلّٰهِ
Ertinya:Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah.

CATATAN TAMBAHAN
1.Rukun haji dan rukun umrah yang wajib mestilah dikerjakan kedua-duanya dalam tahun hijrah yang sama.

~Ilmu ini dikongsi oleh ksu asbkl

Popular posts from this blog

TAUHID 5.3 MUKJIZAT

SEJARAH 7.21 HIJRAH KE HABSYAH KALI PERTAMA

SEJARAH 8.1 PENDUDUK MADINAH SEBELUM DAN SESUDAH HIJRAH